PM: Runtuhkan tembok pemisah rakyat | ||
|
Sambutan yang bertamakan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' itu julung kalinya diadakan di Dataran Parlimen.
Sambutan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang
di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tepat pukul 8 pagi.
Hadir sama ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman.
Dalam perutusannya malam tadi, perdana menteri berkata ia merupakan cabaran terbesar rakyat Malaysia hari ini.
Menurutnya, jambatan yang dibina oleh pejuang-pejuang terdahulu dengan segala susah payah, telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang menurutnya cuba menangguk di air keruh, lapor Bernama.
Golongan ini, tegas beliau, telah mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum, sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi memuaskan agenda sempit mereka.
"Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada.
"Buktinya, lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan," kata Najib sambil berpesan kepada semua terutamanya generasi muda bahawa nikmat yang dikecapi hari ini tidak terhasil begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.
"Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada mahupun tidak, tua atau muda," katanya.
Najib berkata setiap seorang daripada rakyat negara ini mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia dan yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan bekerja keras dan keberanian mengambil risiko.
Namun, katanya, negara membuktikan bahawa ramalan itu adalah meleset sama sekali kerana dalam tempoh lima dekad merdeka, Malaysia telah berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju.
Malah, katanya, Malaysia menjadi negara pertama di dunia berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama, hanya dalam tempoh masa amat singkat, yakni dua generasi sahaja.
Menurut perdana menteri, formula rahsia yang telah mendasari kejayaan ini adalah tidak lain dan tidak bukan, faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan, "bukannya perkara titik bengik yang menyebabkan perpecahan".
Najib berkata sepanjang lebih 50 tahun ini, rakyat dan negara menempuhi pelbagai peristiwa, suka mahupun duka, tetapi semuanya dilalui dengan jayanya.
Namun, beliau mengingatkan bahawa rakyat tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan-kejayaan baru.
Lantaran itu, katanya, untuk menentukan hari esok yang lebih baik dari hari ini, pentadbirannya telah memperkenalkan dasar-dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Antaranya konsep 1Malaysia sebagai dasar yang mempaksikan matlamat kerajaan.
"Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa-prakarsa yang konkrit. Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara," katanya.
Hari Kebangsaan kali ke-52 yang jatuh pada hari Isnin disambut dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahlukan Pencapaian Diutamakan.
Beliau turut mengajak rakyat agar merealisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.
"Marilah pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua," katanya.